Sistem ETC Sepenuhnya Di Lebuh Raya Pantai Timur
KUANTAN, - Bemula 12 tengah hari 14 Ogos, kesemua 19 plaza tol di lebuh
raya yang menghubungkan Karak dan Kuala Terengganu akan melaksanakan
sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya, sekali gus
mencipta sejarah baharu negara apabila tiada lagi kutipan tunai tol di
lebuh raya di negara ini.
Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 merupakan dua lebuh raya paling akhir melaksanakan ETC di negara ini.
Bagi syarikat pemegang konsensi LPT1, Anih Berhad (Anih), persediaan
rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan semua sembilan plaza
tol di lebuh raya tersebut iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor,
Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor bersedia dengan sistem
kutipan baharu itu.
"Kesemua 57 laluan di plaza tol terbabit
sudahpun dilengkapi sistem ETC sama ada Touch 'n Go mahupun SmartTAG,"
kata Naib Presiden II dan Timbalan Ketua Pengurusan Tol Anih Ismaliza
Ibrahim kepada Bernama.
Menurutnya sebagai pengendali lebuh raya antara yang paling sibuk di negara ini, Anih turut memastikan kesemua
warga kerjanya bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan
termasuk golongan pengguna jalan raya yang 'alah' dengan penggunaan
teknologi baharu itu. "LPT1 ini merupakan lebuh raya utama yang
menghubungkan kawasan pantai timur dengan ibu negara dan ia akan menjadi
sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan musim perayaan.
"Contohnya pada perayaan Aidifitri lepas, purata harian penggunaan Lebuh
Raya Karak (KLK) dan LPT1 pada waktu puncak meningkat sebanyak 73.8
peratus kepada 245,000 buah kenderaan berbanding kira-kira 141,000
kenderaan pada hari biasa.
"Sehubungan itu, pelaksanaan ETC ini
adalah cara terbaik melancarkan lalu lintas dan mengelakkan kesesakan.
Bagi peringkat permulaan kita meletakkan kakitangan Anih di setiap
lorong untuk membantu pengguna jalan raya yang sebelum ini gemar
membayar tol secara tunai," katanya.
Menurutnya tinjauan dan
kajian yang dijalankan oleh Anih mendapati urus niaga tunai lazimnya
mengambil masa 15 saat untuk sebuah kenderaan dengan kapasiti 240 buah
kenderaan dapat berurus niaga dalam masa sejam.
Namun, menerusi
sistem pembayaran kad Touch 'n Go, masa yang diambil hanya enam saat
dengan 600 kenderaan dapat melalui lorong tersebut dalam tempoh sejam
dan tiga saat untuk pengguna SmartTAG dengan kadar purata 1,000
kenderaan dapat melaluinya bagi tempoh sama.
"Kita tahu ada dalam
kalangan pengguna lebuh raya terutama di Chenor dan Maran yang lebih
selesa melakukan pembayaran tunai kerana risau dengan baki duit yang
tidak habis digunakan dalam kad Touch 'n Go mereka.
"Sebenarnya
baki duit itu tidak akan hilang kerana tiada terma tamat tempoh untuk
kad dan ia boleh digunakan pada bila-bila masa," katanya.
Menceritakan sejarah migrasi ETC di LPT1, Ismaliza berkata ia bermula
pada 2005 ketika lebuh raya itu mula beroperasi dengan 10 lorong Touch
'n Go, tujuh lorong SmartTAG, enam lorong mod campur (tunai dan ETC)
serta 22 lorong tunai.
Pada masa itu kadar penggunaan ETC hanya
16 peratus, namun sehingga hujung tahun lepas kadar penggunaan ETC dalam
kalangan pengguna LPT1 meningkat sehingga 70.1 peratus dengan bilangan
lorong Touch \'n Go dan SmartTAG ditambah kepada 12 dan sembilan lorong
masing-masing.
Sehingga Mei lepas, kadar penggunaan ETC di
kesemua sembilan plaza tol LPT1 meningkat kepada 74.1 peratus, sekali
gus memberi keyakinan pelaksanaan sepenuhnya ETC tersebut akan disambut
baik oleh pengguna lebuh raya itu.
"Untuk kemudahan pengguna
LPT1, kita turut menyediakan khidmat penjualan kad Touch 'N Go dan
tambah nilai di Plaza Tol Karak, Temerloh dan Kuantan, selain di
stesen-stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh dan Gambang,
katanya.
Sementara itu, seorang pengguna lebuh raya tersebut,
Azmi Muhammad, 45 yang bekerja di ibu negara, menyifatkan pelaksanaan
ETC akan memberi kelegaan kepada pengguna KLK dan LPT kerana dapat
menjimatkan masa selain mengurangkan kesesakan, khususnya pada musim
perayaan.
"Saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur dan
Kuantan kerana keluarga ada di Kuantan. Walaupun saya sendiri
menggunakan SmartTAG, kesesakan masih berlaku terutama di sesetengah
plaza tol kerana pengguna tunai tadi.
"Jadi saya merasakan
langkah melaksanakan ETC di seluruh plaza tol di negara ini satu
tindakan terbaik yang dapat mengatasi masalah itu. Barulah berbaloi kita
membayar tol dan aliran trafik pun lancar," katanya ketika ditemui
Bernama.



No comments: