Organ Khinzir Untuk Kegunaan Manusia Mungkin Berlaku Seawal 2019
Di Amerika Syarikat sahaja 22 individu meninggal dunia kerana gagal
menemui penderma organ. Masalah ini sudah berlarutan berdekad lamanya
dan di Malaysia kerajaan melakukan kempen menderma organ secara meluas.
Antara jalan penyelesaian yang sedang dibangunkan ialah menggunakan organ khinzir sebagai ganti organ manusia.
Penggunaan organ khinzir sebagai analog organ manusia semakin hampir
menjadi realiti dengan kejayaan ujian suntingan DNA. Para penyelidik
kini mensasarkan ujian pemindahan organ sebenar dilakukan seawal 2019.
Organ yang menjadi sasaran jangka pendek saintis ialah jantung, hati dan
ginjal kerana ia paling diperlukan.
Sistem suntingan gen CRISPR–Cas9 digunakan bagi
menyahaktifkan 25 virus yang hanya menyerang khinzir. Antara masalah
penggunaan organ khinzir ialah bahaya penerima organ boleh diserang
virus yang sebelum ini hanya ditemui pada khinzir.
Kejayaan oleh saintis dari eGenesis ini dilihat sebagai sebuah lagi langkah besar yang akan menyelesaikan masalah kekurangan penderma organ di masa hadapan.
Mengapa khinzir dan bukan haiwan lain? Ini soalan yang kerap
didengari. Khinzir mempunyai saiz organ yang hampir sama dengan manusia.
Haiwan mughallazah ini turut membiak dengan amat pantas. Organ dari
khinzir berusia hanya empat bulan boleh “dituai” untuk kegunaan manusia.
Langkah seterusnya ialah melihat kesan jangka panjang menggunakan
organ khinzir yang telah disunting DNAnya dan penolakan oleh tubuh
penerima. Penggunaan CRISPR–Cas9 dipercayai boleh meningkatkan risiko kanser. Kerana teknologi ini masih baru, kesan jangka panjang masih belum diketahui.
Sumber Rujukan: Scientific American
Kredit : Amanz


No comments: