Siapa Reka Pingat Sukan SEA KL 2017?

Pingat Sukan SEA kini sedang menjadi buruan ribuan atlit yang
bertanding dalam pelbagai acara yang dianjurkan. Ada bermacam gaya atlit
menyambut kemenangan mereka dan sudah pastilah terserlah wajah bangga
tatkala mereka dikalungkan pingat tersebut di leher.
Tahukah anda siapakah pihak yang bertanggungjawab merekacipta dan mengeluarkan pingat tersebut?
Pingat-pingat yang menjadi buruan ini semuanya dihasilkan melalui
kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan serta pihak Royal
Selangor, pakar pembuatan barangan daripada logam pewter. Oleh kerana
itu, Royal Selangor dinamakan sebagai Rakan Pingat Rasmi bagi KL 2017.
Royal Selangor dipilih berdasarkan pengalaman mereka mereka pelbagai
bentuk trofi dan pingat untuk pelbagai kejohanan besar seperti kejohanan
F1 Malaysia, LPGA Malaysia, Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001.
Pingat-pingat Sukan SEA 2017 direka dengan menggunakan bahan timah
dan kayu kempas yang mudah didapati di negara kita. Rekaan pingat itu
dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada pihak Royal Selangor dalam
memastikan kualiti yang terbaik serasi dengan pencapaian atlit yang
memenanginya.

Mempunyai watak dan identiti yang tersendiri,
pingat yang direka mempunyai permukaan melengkung yang disaluti badan
kayu. Bahagian tepi pingat diperbuat daripada pewter yang disadur dengan
emas atau tembaga mengikut warna pingat yang diperlukan. Bahagian
kayunya pula diawet dengan minyak bagi mengekalkan warna asal serta
menjaga kualiti kayu. Setiap pingat mempunyai dimensi diameter 80mm x
11mm dengan berat setiap satunya 140 gram.

Selain itu, Royal Selangor juga dipertanggungjawabkan untuk mereka Obor
rasmi Sukan SEA 2017 dan replika baton Sukan SEA 2017. Obor berbentuk
segitiga yang direka melambangkan kekuatan dan perpaduan dengan dibentuk
agar mempunyai lengkungan licin, bagi menampakkan Malaysia sebagai
sebuah yang moden dan penuh dengan tradisi.

Berita baiknya, anda tidak perlu menjadi seorang atlit untuk memenangi
pingat. Pihak Royal Selangor juga mengeluarkan pingat peringatan sebagai
kenang-kenangan bagi anda yang gemar mengumpulkan produk-produk seperti
ini. Selain itu, jika anda rasa nak berlari seorang diri dengan
memegang obor Sukan SEA 2017, anda juga boleh memiliki replika obor
Sukan SEA untuk dibawa berlari.Cuma replikanya kecil sedikit lah jika
dibandingkan dengan yang asal.
Sumber Iluminasi
Sumber Iluminasi
No comments: