100 SMS Cinta

Assalamualaikum, apa khabar? Saya harap awak sihat? Dah lama tak dengar khabar awak. Saya masih di Penang. Tapi bila saya balik ke KL, saya harap dapat jumpa awak.
Aku terkebil- kebil, membaca sms itu berkali- kali dan cuba
mengingati nombor telefon itu. Salah nombor agaknya? Biarlah. Telefon
aku letakkan ke tepi dan aku kembali teruskan kerja. Adalah normal untuk
menerima sms yang tersilap hantar sebegini, jadi aku tidak perlu fikir
terlalu banyak, kan? Jika sekali ialah kebetulan, bagaimana jika dua
kali?
Assalamualaikum. Saya dah kembali ke KL. Saya tahu awak tak akan balas sms saya tapi saya tak akan putus asa.
Sudah tahu tidak akan dibalas kenapa masih beria- ia menghantar?
Barangkali si penghantar tidak tahu dia tersalah nombor. Patutkah aku
membalas kembali untuk memaklumkan hal sebenar? Tetapi bagaimana jika
dia seorang penipu? Salah satu peraturan penting dalam mengelakkan spam
atau sebarang penipuan berkaitan siber atau telekomunikasi ialah tidak
membalas balik email atau sms yang diterima dari alamat email atau
nombor yang tidak dikenali. Ini untuk mengelakkan dari memberi
pengesahan kepada si penghantar yang mungkin berniat jahat yang email
atau sms yang digunakannya ialah tepat dan aktif. Jadi sms itu juga aku
abaikan. Tetapi sms itu tidak berhenti. Setiap hari aku akan terima satu
atau lebih sms daripadanya.
Assalamualaikum, saya jumpa tempat makan menarik hari ini. Mungkin lain kali kita boleh makan bersama.
Assalamualaikum, kucing saya yang comel telah melahirkan empat ekor anak kucing. Semua comel- comel! 😀
Assalamualaikum, saya akan ke JB esok. Mungkin dua tiga hari baru boleh balik.
Assalamualaikum, saya ada belikan cenderahati di JB untuk awak. Kalau kita ketemu, saya akan hadiahkan kepada awak.
Assalamualaikum, saya dah balik ke ibu kota. Esok mula kerja balik. Wah! Malas!
Assalamualaikum, ingat lagi anak- anak kucing saya yang comel itu. Dua daripadanya telah mati. Sedihnya T-T
Assalamualaikum, awak tahu, hari ini saya terlanggar tiang semasa balik makan tengahari. Malunya! Ramai orang yang ada pula tu! Esok maybe mc sebab malu.
Assalamualaikum, hari ini saya pergi kerja juga. Awak tahu apa yang kelakar? Tak ada seorang pun ungkit hal semalam. Hmm, memang saya tak glamour~
Pendek kata. ada saja yang ingin diceritakannya. Aku sampaikan boleh
tahu dia ke mana, buat apa, kucing- kucingnya yang bernama Olive, Popeye
dan Bruno dan hobinya ialah membaca . Aku juga kini tahu yang dia
seorang lelaki berusia 31 tahun, bekerja sebagai doktor kanak- kanak di
sebuah hospital di ibu kota dan ibu bapanya menetap di Perak. Kadang-
kadang, bila tak ada idea, dia akan cerita pasal cuaca. Kadang- kadang
aku ketawa dengan smsnya yang kelakar.Aku tertanya- tanya sama ada
nombor ini milik seseorang yang dia kenali. Mungkin bekas kekasihnya?
Lagipun aku baru menggunakan nombor ini tidak sampai setahun. Barangkali
pemilik sebelum ialah seseorang yang amat penting di hatinya.Aku
teringin untuk memberitahunya yang aku tidak kenal dia tetapi aku
seperti takut dia akan berhenti menghantar sms selepas itu. Entah
kenapa, aku tertunggu- tunggu sms daripadanya. Tapi, patutkah aku terus
buat begitu? Setiap kali menerima sms daripadanya, terselit rasa
bersalah kerana terus menggalakkan dia dengan membuatkan dia berharap
yang smsnya sampai kepada orang yang betul.
Assalamualaikum, saya dapat anugerah doktor paling cute dari pesakit- pesakit saya yang lebih cute. Buat saya tersenyum sepanjang hari.
Aku teringin untuk mengucapkan tahniah. Paling penting, aku teringin untuk melihat wajahnya yang dikatakan comel itu.
Assalamualaikum, Olive dah mati. Sedihnya.
Aku teringat dia pernah cerita yang dia sangat sayangkan Olive sebab
dia pelihara Olive sejak Olive masih bayi. Kalaulah aku dapat beritahu
dia yang aku rasa simpati.
Assalamualaikum, saya teringin nak jumpa awak. Tapi saya tahu, awak mesti tak nak jumpa saya.
Itu ialah sms yang ke 100. Apa yang dia tidak tahu, aku juga teringin
untuk berjumpa dengannya. Aku teringin untuk melihat wajahnya dan
meminta maaf. Jadi aku minta pulang lebih awal hari ini. Destinasiku,
aku ke hospital di mana dia bekerja. Kalau dulu aku terfikir dia mungkin
berniat jahat. Tapi difikirkan balik sekarang, siapa yang sanggup
menghantar 100 sms kepada seseorang yang tidak membalas setiap hari. Aku
bukannya kaya atau terlalu cantik untuk diberi perhatian sebegitu.
Sebab itulah aku mengambil keputusan untuk bertemu dia.Ketika aku
sampai, kawasan hospital penuh dengan pelawat. Aku melabuhkan punggung
di kafeteria dan mendail nombornya selepas berfikir seketika. Dadaku
berdebar- debar menunggu dia menjawab. Selepas lama berdering, barulah
dia menjawab. Dia tidak menjangka aku akan menelefon satu hari nanti?
“Assalamualaikum,” suara yang dalam menjawab.
“Waalaikumsalam,” jawabku perlahan, menunggu reaksinya. Mana tahu dia
mengharap suara yang dikenalinya menjawab.Kami berdua membisu seketika.
Aku tidak tahu apa yang dia fikir tetapi jantungku bagai hendak
tercabut. Akhirnya aku memilih untuk memecah kesunyian.
“Boleh saya jumpa awak?”Dia seperti menghela nafas.
“Awak di mana?”
“Di kafeteria hospital awak.” Selepas beberapa saat yang agak panjang dalam hidupku.
“Tolong tunggu di situ sekejap, saya akan segera ke sana.” Aku
memberitahunya tempat dudukku dan warna tudung dan bajuku. Kemudian, aku
menunggu hampir lima minit. Sepanjang menunggu, pelbagai perkara
bermain di mindaku. Dia akan marahkan aku? Dia tidak akan menghantar sms
lagi dan mengaku yang selama ini dia tersilap hantar? Aku akan sedih
jika itu yang dia akan lakukan tetapi aku mesti menerima keputusan dia.
“Assalamualaikum.” Aku mendongak, memandang seseorang jejaka kacak
yang berkot putih doktor. Jadi si tampan inilah yang asyik menghantar
sms kepadaku? Betulkah? Cair!!!Aku berdehem perlahan.
“Waalaikumsalam, duduklah.” Dia mengambil tempat di depanku.
“Awak nak jumpa saya?”
“Ya, saya nak jelaskan sesuatu kepada awak.” Aku mengeluarkan telefon
dari beg dan membuka sms- sms yang dia hantar kepadaku. Dia melihat
skrin sebelum merenungku.
“Selama ni awak tersilap nombor,”kataku.
“Oh,” Sepatah dia menjawab. Oh saja? Aku bagaikan hendak sakit jantung kerana terlalu cemas, dia cuma jawab oh?
“Jadi saya nak minta maaf sebab tak beritahu awak hal sebenar.” Aku
diam selepas itu, menunggu jika dia ingin marah aku. Tetapi reaksinya
selepas itu mengejutkan dia. Dia tergelak kecil.
“Saya tak tersilap hantar.”
“Huh? Saya tak kenal awak pun!” spontan aku menjawab. Dia tersenyum.
“Nampaknya awak dah lupakan saya.” Aku kenal dia. Biar betul?
“Sepuluh tahun lepas, saya pernah ke rumah awak. Masa tu awak baru 14
tahun tapi saya dah jatuh cinta pada awak. Tetapi sebab awak masih
muda, saya pendamkan perasaan saya. Saya tunggu 10 tahun untuk mula
menegur awak,” jelasnya.
“Awak pernah ke rumah saya?” aku mengerut dahi. Ini cerita 10 tahun yang lalu, kalau betul pun tak mungkin aku ingat.
“Saya Rayyan, kawan baik abang awak, Naufal. Saya pernah ke rumah
awak sebelum saya sambung pengajian ke luar negara. Nombor awak ni pun
saya dapat dari dia. Saya dah minta kebenaran dia pun,” jelasnya
lagi.Rayyan? Aku macam pernah ingat seorang pemuda yang mempunyai nama
itu ke rumahku. Dia memang comel tapi aku beri perhatian sangat sebab
pertemuan kami terlalu singkat. Tapi kalau tak silap aku, kami berjumpa
tak sampai satu jam pun. Dalam tempoh itu dia jatuh cinta kepadaku? Wah,
susah nak percaya! 10 tahun pula tu!
“Habis kenapa tunggu 10 tahun?” soalku. Dia merenung meja.
“Saya takut awak tak terima saya. Mana tahu awak dah ada orang lain.
Beberapa kali saya nak cuba hubungi awak tapi… Naufal tahu perasaan saya
pada awak. Dia yang beritahu saya awak masih tak ada sesiapa. Sebab tu
lah saya beranikan diri untuk cuba.” Aku tidak dapat menahan diri dari
mengukir senyum. Orang sekacak ini pun takut aku tidak akan membalas
smsnya. Segalanya sukar untuk dipercayai.
“Sebab tu awak hantar sms macam- macam setiap hari?”
“Saya nak awak kenali saya secara perlahan- lahan. Sebab tu lah saya
hantar macam- macam sms setiap hari. Biar awak kenal saya. Saya tak nak
terus menyesal, sebab tu lah saya nak mencuba juga. Selain tu saya tak
tahu nak cakap apa sebenarnya, jadi saya cuba sajalah,” muncung dia
menjawab pada ayat terakhir itu. Comel pula aku tengok.Patutkah aku
beritahu dia yang aku juga telah jatuh cinta padanya? Hmm, biarlah.
Tunggu dulu. Biar dua tiga bulan nanti, aku beri kejutan kepada dia.
“Boleh…saya terus sms awak?” tanya Rayyan perlahan.Aku tersenyum.
“Boleh. Dan saya tak kisah kalau awak nak telefon. Lebih senang kita
berbual.” Senyumannya yang sangat manis sebagai respon selepas itu
membuatkan jantungku berdegup kencang. Ai, aku benar- benar dah jatuh
cinta pada dia!
Sumber Penulisan2u
No comments: