Mungkinkah Dia Imamku?
Entah kenapa hatiku gelisah, berdebar kencang dari pagi tadi. Adakah
kerana pembentangan hari ini? Mr West mahu aku ikut serta dalam RGM
(Mesyuarat Bulanan General Manager) kali ini. Katanya agar aku pun turut
mendapat kredit atas usaha keras kami selama ini. Projek dua tahun ini
mendapat perhatian CEO. Usai dhuha, aku menarik nafas panjang. Ku
panjatkan doa pada Ilahi agar tenang hati ini.
Bilik Mesyuarat Pluto
"Macam mana Umar?", tanya Pengurus Operasi kami. Mataku
alihkan kepada lelaki itu. Terpaku aku. Subhanallah. Sosok tubuhnya
benar-benar mirip dengan bayang lelaki yang kulihat dalam istikharahku
kelmarin.
Pandangan mata kami bertemu. Senyum. Serentak itu, hatiku tenang, bagai semilir angin yang lalu. Allah Allah.
"Mungkinkah dia imamku?" Bisik hatiku penuh debar.
7 hari.
"Diba, awak tolong jumpa Umar. Dapatkan pandangan dia tentang paten komunikasi pekerja indonesia di sini."
"Erkk.. " Aku terkedu. Ya Allah, dekatkanlah dia padaku jika
benar dia jodohku. Pada usia 32 tahun ini, hanya tawakal penguat
semangatku. Aku yakin, pada ketika dan orang yang tepat, Allah pasti
akan menjawab doaku.
Umar Budiharto. Itulah namanya. Baru ku tahu, dia itu berasal dari
Bekasi, Indonesia. Cuma aku masih tak pasti apakah status dirinya.
Selama ini tekadku, tak mungkin aku menjadi pemusnah kebahagiaan wanita
lain.
Mengenalinya, aku rasa bagaikan sudah kenal lama. Tak sukar untuk
mencari keserasian antara kami. Dia seperti aku, gilakan fotografi dan
seni. Kami sering outing bersama teman-teman Kelab Fotografi. Dia buat
aku selesa ,kerana solat tetap di jaga. Pesanannya selalu, mulakan walau
sekecil apa pun kerja dengan Bismillah. Masakan tidak, tiga tahun di
pesantren telah membentuk dirinya. Malah, sama seperti aku, dia juga
memasang hajat membawa bonda dan ayahanda tercinta menunaikan manasik
Haji.
Betapa sempurnanya lelaki ini di mataku. Hingga kini, soalan yang
satu itu cuba kumatikan dalam benakku. Aku takut dengan jawapannya.
Setelah rasa cinta ini membuak di dada, adakah mampu aku bertahan andai
dia terhempas begitu sahaja.
7 minggu
Telahanku benar. Sudah lima tahun dia berkahwin, tapi masih belum
dikurniakan cahaya mata. Namun tak pernah sekali pun dia mengatakan yang
buruk tentang Kak Ayu, isterinya. Betapa bertuahnya kau kak. Oleh
kerana tiada pelepasan majikan, Kak Ayu masih di Bekasi. Terpempan aku
saat dia menyuarakan hasrat untuk mempertemukan aku dengan KakAyu.
Adakah tega aku bertentang mata dengannya. Wanita yang bakal ku rampas
separuh dari jiwanya. Pujukan Umar meyakinkan aku untuk bertemu. Ku
salam dan ku cium tangan wanita itu. Dia tersenyum . Rupanya banyak yang
telah Umar ceritakan tentang aku. Selepas berbasa basi, kak Ayu
memulakan bicara.
"Akak rela berkongsi kasih. Mungkin ini cara Allah memberi rahmatNya.'
Sunyi.
Haruskah aku gembira. Aku tak pasti. Antara prinsip dengan cinta
dalam hati. Lama diam itu pengisi sunyi. Masing-masing dalam fikiran
sendiri. Ku renung lembut wajah kak Ayu. Tulus wajahnya , setulus
hatinya. Hujan di hatiku makin sarat. Dan entah dari mana datangnya
kekuatan itu.
"Maafkan saya kak. Saya tidak pasti yang saya mampu ikhlas
berkongsi kasih dengan akak. Apa mungkin memang Umar dijadikan sebagai
pembela wanita, yang mampu menyebarkan cintanya buat kita berdua, itupun
saya tak pasti. Berilah saya peluang untuk mencari ketenangan hati dan
kekuatan diri. Mungkin ada baiknya kita tangguhkan dulu soal ini. Andai
memang ini suratanNya."
Kaki terus ku bawa lari keluar dari KLCC. Empang air mata yang kutahan dari tadi, pecah akhirnya .
"Ya Allah. Aku tidak tahu , ya Allah... Tiada satu pun rahsia Mu dalam pengetahuanku. "
Makkah, 17 Ramadhan 1433H
Selesai sudah tawaf sunat ku. Aku menghela nafas. Alhamdulillah.
Masih sudi Kau menerima aku sebagai tetamu Mu. Aku kembali pada Mu ya
Allah. Ampunkan aku kerna selalu mencari cinta lain selain Engkau.
Malunya aku. Kutundukkan wajahku , lalu bersujud. Aku redha atas segala
ketentuanmu. Terimalah taubatku. Air mataku bercucuran. Hanya pada Tuhan
Kaabah ini aku meratap. Biarlah kukhabarkan cintaku hanya padaNya.
'"Assalamualaikum Diba". Ku seka airmataku. Saat ku angkat wajahku, ku lihat dia. Ya, dialah lelaki itu. Dialah imamku. Terima kasih Allah.
- Artikel iluvislam.com
Biodata Penulis
Nazlin Akma Adam mempunyai minat yang sangat mendalam di dalam bidang penulisan dan sastera.
Koleksi KuTiup

No comments: