Kes Rasuk UiTM Lendu, Penulis Blog Buka Mulut
Beberapa hari lalu, kisah rasuk dan histeria yang berlaku di
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu secara tiba-tiba menjadi sensasi
dan disebarkan secara meluas di ruang internet.
Hinggakan, ia menjadi viral di mana-mana sahaja laman sesawang termasuklah ‘trending’ di laman sosial Twitter.
Cerita itu menjadi kecoh dari satu mulut ke mulut lain.
Ia bermula dari penulisan seorang pelajar di universiti tersebut di
blog peribadinya, theruzannapages, yang menceritakan mengenai
kisah-kisah rasukan dan histeria yang berlaku di sana.
Ekoran dari cerita itu, ramai yang menjadi takut dan ada juga ibu
bapa yang risaukan akan perihal diri serta keselamatan anak-anak mereka
yang sedang menuntut di UiTM, Lendu.
Difahamkan, ada juga individu-individu tertentu yang marah dengan
tindakan penulis itu yang telah menakutkan ramai pihak dan dikatakan
sengaja mencari populariti.
Terbaru, menerusi
blog yang sama, penulis blog itu yang dikenali sebagai Ruzana telah
menerangkan sesuatu mengenai kejadian yang diceritakan dalam tulisannya.
Kata Ruzana, dia tidak bermaksud ingin menggembar-gemburkan
kisah yang berlaku di sana hinggakan menjadi satu cerita yang utama di
semua tempat dan waktu.
Jujur dari hati Ruzana, dia hanyalah menulis kisah itu
berdasarkan pengalamannya yang menuntut di sana dan menetap di salah
satu blok asrama pelajar.
Selain itu, Ruzana juga menegaskan penulisannya itu hanyalah
sekadar ingin berkongsi dengan teman-teman rapatnya dan bukanlah mahu
meraih populariti dengan sengaja.
Mengenai kisah pukau, mencuri dan ada pelajar yang terbang
bukanlah cerita yang dialaminya, sebaliknya cerita itu hanyalah didengar
dari pihak-pihak tertentu.
Kecuali, kisah rasuk yang Ruzana ceritakan adalah perkara yang benar yang sememangnya berlaku betul-betul di depan matanya.
Ruzana turut memaklumkan dia tidak langsung mempunyai niat
untuk memburukkan imej UiTM sendiri dan sekali lagi memberitahu tulisan
itu hanyalah perkongsian dengan pembaca mengenai kisah yang terjadi
dalam hidupnya.
Gadis yang sedang
menuntut dalam jurusan Komunikasi & Pengajian Media itu juga tidak
segan untuk memohon maaf kepada semua pihak lebih-lebih lagi kepada UiTM
kerana telah mencipta satu suasana kecoh hinggakan menerbitkan rasa
takut dalam diri setiap pelajar di sana.
Apa-apa pun, kisah yang menjadi bualan orang ramai itu juga sudah
terjawab apabila Rektor universiti tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd Adnan
Hashim sendiri meminta ibu bapa dan pelajar-pelajar UiTM Lendu supaya
bertenang kerana tidak ada kes-kes yang serius berlaku.

No comments: