Ads Top

Sajian menu pesakit

BERBICARA tentang sakit dan masuk wad tentu saja selera makan akan berkurang memikirkan mengenai sakit yang dihidapi.

Bagaimanapun baru-baru ini, Pusat Perubatan Prince Court melangkah setapak lagi apabila menghasilkan menu makanan yang menepati selera pesakit pelbagai kaum.

Hidangan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam disajikan bukan saja sedap bahkan berkhasiat sesuai bagi pesakit yang dalam proses untuk sembuh daripada sakit atau pembedahan.

Malah semua menu diselaraskan mengikut kandungan kalori yang sesuai oleh chef dan pakar pemakanan pusat perubatan berkenaan.

Ketua Perkhidmatan Sokongan Hospitaliti Ramli Jasam berkata, pihaknya berjaya menghasilkan pilihan sajian yang dapat membantu pesakit makan dengan selera, lebih sihat dan meninggalkan hospital dengan gembira, dalam tempoh tiga bulan.

"Sajian dibahagikan kepada empat pakej iaitu biasa, terapeutik, lembut dan bayi," katanya pada pelancaran makanan pesakit di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buah-buahan dan sayur-sayuran ditambah dalam hidangan bagi menghasilkan makanan segar sama ada untuk sarapan, makan tengahari atau malam.

"Semua menu dihidangkan tanpa berkompromi dengan nutrien dan enzim bagi memastikan pesakit mendapat diet seimbang untuk mempercepatkan proses penyembuhan mereka," katanya.

Pihaknya menawarkan sajian vegetarian dan biasa bagi pesakit dewasa dan kanak-kanak.

"Pesakit juga diberikan pilihan menu yang berlainan setiap hari," katanya sambil menambah makanan yang dihidangkan adalah halal dan suci.

Pada masa sama, jelas Ramli, mereka sentiasa mengikut arahan doktor dalam menu termasuk cecair yang diperlukan.

Ketua Dietitiannya, Datin Farah Di Ba Khan berkata, makanan pesakit dirancang berdasarkan garis panduan keperluan diet berlainan bagi kanak-kanak, wanita hamil dan bersalin, vegetarian, diabetes, masalah jantung atau buah pinggang.

Beliau menambah, pilihan makanan yang betul penting bagi mempercepatkan penyembuhan.

Pada majlis berkenaan, Master Chef Malaysia, Dr. Ezani Farhana Md. Manoto tampil menyediakan Samak Hara - salah satu menu yang dihidangkan kepada pesakit.

No comments:

Powered by Blogger.