Ads Top

HIV dalam kalangan nelayan

Beliau yang melakukan kajian berkenaan di tapak kajian di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ke atas 406 nelayan di Kuantan pada tahun 2011 turut mendapati, lebih daripada satu pertiga nelayan di Kuantan terlibat dalam penggunaan dadah secara jarum suntikan manakala tiga peratus daripada mereka menghidap siflis.

''Pada peringkat awal kajian yang dilakukan sejak tahun 2009 hingga 2010 di bawah Projek Waves itu, adalah menerusi kaedah perbualan dan pandangan masyarakat dan seterusnya kajian menyeluruh di lakukan pada tahun 2011 menerusi soal selidik dan pendapat orang rama.

''Dalam kaji selidik berkenaan yang dinamakan The social determinants of HIV among fishermen in Kuantan,Malaysia, didapati nelayan yang paling ramai berisiko terdedah dengan jangkitan berkenaan ialah nelayan laut dalam berbanding nelayan pantai kerana risiko penggunaan jarum suntikan secara perkongsian.
''Kita mengetahui nelayan laut dalam perlu berada sekurang-kurangnya lima hari di tengah laut untuk menangkap ikan, justeru dadah diperlukan oleh sebahagian daripada mereka untuk menguatkan tenaga," kata Martin.

Malangnya, menurut Martin para nelayan berkenaan mengambil dadah menggunakan jarum suntikan dan sikap berkongsi jarum menjadikan virus itu merebak dengan cepat dalam kalangan mereka.

"Akibat perkongsian jarum suntikan menyebabkan ramai dalam kalangan nelayan berkenaan terjebak dengan HIV," katanya ketika ditemui di Fakulti Perubatan Universiti Malaya sempena Minggu Pembentangan Kaji Selidik institusi berkenaan, baru-baru ini.

Apabila ditanya mengapa menggunakan Kuantan sebagai tempat kaji selidik dan tidak kawasan pantai timur lain, Martin menambah responden di kawasan itu mudah memberikan kerjasama.

''Sebenarnya faktor geografi penyebab nelayan terdedah kepada HIV, tetapi sebenarnya pekerjaan itu sendiri dan purata umur nelayan terlibat dengan penggunaan dadah secara suntikan adalah 38 tahun dan kebanyakan daripada mereka masih bujang," kata Martin.

Katanya, kebanyakan nelayan yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah adalah dari golongan miskin dengan kadar pendapatan RM800 sebulan.

Lebih 98 peratus daripada responden yang ditemui adalah orang Melayu.

Mengenai bagaimana responden boleh memiliki atau membeli dadah dengan begitu mudah, beliau menjelaskan, bekalan memang mudah didapati.

Sementara itu Martin berkata, dalam kebanyakan responden yang diselidiki, hanya 30 peratus pasangan menggunakan kaedah selamat ketika melakukan seks dengan pasangan utama mereka, manakala selebihnya tidak menggunakan kondom.

Malaysia adalah sebuah negara yang diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai mengalami epidemik tertumpu (concentrated epidemic), di mana jangkitan HIV membabitkan lebih lima peratus dalam kalangan populasi yang berisiko tinggi seperti pengguna dadah suntikan, pekerja seks dan transgender.

Sejak kes pertama HIV/AIDS dilaporkan 25 tahun lalu, sehingga Disember 2011, dilaporkan 94,841 HIV dan 17,686 kes AIDS dikesan. Daripada jumlah itu 14, 986 telah meninggal dunia menjadikan mereka yang hidup dengan HIV sekarang ialah 79,855.

Dalam pada itu kes-kes jangkitan HIV baru yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2011 sebanyak 3,479 setahun.

Secara puratanya, HIV di negara ini didominasi oleh golongan lelaki yang menyumbang 90 peratus kepada kes-kes HIV terkumpul yang majoritinya adalah pengguna dadah yang berkongsi jarum suntikan.

Bagaimanapun keadaan itu telah bertukar. Nisbah jangkitan baru HIV wanita kepada lelaki semakin meningkat kebelakangan ini, daripada 1:10 pada tahun 2000 kepada 1:4 pada tahun 2011. Majoriti kes jangkitan HIV dalam kalangan wanita adalah menerusi hubungan heteroseksual (87 peratus). 

Dari segi peringkat umur, kira-kira 26 peratus kes HIV terkumpul adalah dalam kalangan anak-anak muda berumur 13 hingga 29 tahun. 

Bagaimanapun, trend jangkitan HIV baru dalam kalangan umur ini semakin menurun berbanding peningkatan dalam kalangan mereka yang dewasa berumur 30 hingga 39 tahun.

Memandang dari sudut faktor risiko pula, penularan HIV melalui seksual semakin meningkat saban tahun berbanding jangkitan disebabkan perkongsian jarum suntikan dadah. 

Pada tahun 2011, lebih 55 peratus kes HIV baru adalah menerusi jangkitan seksual (hetero, homo dan biseksual), hampir dua kali ganda angka jangkitan baru disebabkan faktor yang sama lima tahun lalu (31 peratus). - rosmah dain

© Utusan Melayu

No comments:

Powered by Blogger.